KUALA TERENGGANU, 23 September 2026 – Mesyuarat Jawatankuasa Induk Panel Pemilih Program Walimatulurus Perdana 2026 telah diadakan pada 23 September 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh YB Zuraida binti Md Noor, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional, sebagai sebahagian daripada persediaan awal bagi memastikan pelaksanaan Program Walimatulurus Perdana 2026 dapat dirancang dan diselaraskan dengan teratur.
Turut hadir ialah YBrs. Encik Wan Muhd Masyhum bin Wan Harujan, Pengarah YPKT; Tuan Haji Nazri bin Yusoff, Timbalan Pengarah (Program) YPKT; Encik Muhammad Hazimin bin Mat Yassin, Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional) serta pegawai-pegawai daripada YPKT dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada beberapa perkara berkaitan persediaan dan penyelarasan pelaksanaan Program Walimatulurus Perdana 2026, khususnya dalam aspek pemilihan pasangan yang akan menyertai program serta penyelarasan gerak kerja antara agensi dan pihak yang terlibat.
Penubuhan Jawatankuasa Induk Panel Pemilih ini turut mencerminkan komitmen YPKT bersama agensi berkaitan dalam memastikan proses pemilihan peserta dilaksanakan secara teratur, telus dan selaras dengan ketetapan yang telah ditetapkan bagi menjamin kelancaran program.
Program Walimatulurus Perdana 2026 dijadualkan berlangsung pada 7 November 2026 secara serentak di setiap daerah di Negeri Terengganu. Pelaksanaan program secara serentak ini dijangka dapat menghimpunkan pasangan pengantin dari seluruh negeri dalam satu inisiatif yang memberi penekanan kepada pengukuhan institusi kekeluargaan dan kesejahteraan masyarakat.
Program ini juga merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu melalui YPKT dan agensi berkaitan dalam menyokong pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga, di samping membantu mengurangkan beban perbelanjaan berkaitan majlis perkahwinan serta menggalakkan pembentukan keluarga yang harmoni dan sejahtera.
Kerjasama strategik antara YPKT, JHEAT serta agensi dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan setiap aspek pelaksanaan program dapat diselaraskan dengan baik, termasuk urusan pemilihan peserta, pengurusan majlis serta penyampaian manfaat kepada pasangan yang terlibat.
Mesyuarat ini sekali gus menjadi platform penting dalam memperkemas perancangan dan penyelarasan pelaksanaan Program Walimatulurus Perdana 2026 agar berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan, khususnya dalam memperkukuh institusi keluarga sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera di Negeri Terengganu.
#ypkt#KeluargaBahagiaHidupSejahtera #TerengganuMajuBerkatSejahtera







